Monday, November 2, 2009

Tip menulis iklan yang berkesan

Bila buat bisnes, pengiklanan merupakan satu kemestian. Iklan memperkenalkan bisnes kita, produk kita atau perkhidmatan kita kepada orang ramai supaya mereka membelinya.

Biasanya penulis iklan atau copywriter menggunakan formula A-I-D-A dalam mencipta sesuatu iklan yang berjaya. Berikut adalah apa yang dimaksudkan dengan A-I-D-A.

  • A - Attention: Menarik Perhatian
    Mula-mula iklan anda perlulah menarik perhatian. Jika iklan berbentuk poster, biasanya gambar yang hebat sudah pasti lebih mudah menarik perhatian. Bagaimanapun jika ianya teks, maka tajuk iklan anda adalah kuncinya. Tajuk anda perlulah tepat kepada point. Nyatakan apa produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Jika anda mahu memberi sedikit gambaran tentangnya di dalam tajuk, pastikan ia ringkas dan padat.
  • I - Interest: Menarik Minat
    Selepas iklan anda menarik perhatian orang, ia mestilah menarik minat mereka kepada produk atau perkhidmatan anda. Harga merupakan satu perkara penting dalam hal ini. Orang perlu tahu berapa mereka harus bayar untuk produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan. Selain itu anda boleh juga jelaskan ciri-ciri, kelebihan atau kebaikan produk atau perkhidmatan anda dan mengapa ia diperlukan.
  • D - Desire: Menimbulkan Keinginan
    Penjelasan yang baik tentang produk atau perkhidmatan anda akan menimbulkan keinginan orang untuk mendapatkannya dari anda. Meletakkan gambar juga merupakan satu cara berkesan dalam menggalakkan keinginan mereka. Jadi, letaklah gambar di dalam iklan anda.
  • A - Action: Memimpin Tindakan
    Selepas anda menarik perhatian orang, menarik minat mereka dan menimbulkan keinginan di hati mereka, anda perlulah memimpin mereka ke arah tindakan seterusnya iaitu, membeli. Anda perlu memberitahu mereka bagaimana caranya. Ajak atau beri insentif kepada mereka untuk membuat keputusan pada masa itu juga.

No comments:

Post a Comment